Thursday, July 31, 2008

KELEBIHAN SOLAT UMAT NABI S.A.W.

Assalamualaikum wrt kpd sahabat2 ukhwatul muslimin dan muslimat... Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

Setelah Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?." Lalu Allah berfirman yang bermaksud.."Tidak". Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya 'Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja,dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..." Kemudian Jibrail as meminta izin keada Allah untuk melihat syura Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telahku berikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan....."

SYUKUR

Sebagai seorang hamba yang sempurna sifatnya kita wajib bersyukur kehadrat Allah swt jika dibandingkan dengan orang lain yang kurang sempurna sifatnya. Tetapi harus diingat bahawa semuanya hak Allah yang boleh diambil bila-bila masa sahaja. Jadi kita harus redha dengan ketentuan ini. Dalam keadaan yang cukup sempurna inilah, seharusnya kita menggunakan sepenuhnya untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada pencipta kita.

Bila bercerita tentang kesempurna fizikal ini, teringat aku akan kisah seorang sahabat semasa aku bekerja di Bangsar. Biar aku namakan dia Zul aje. Berusia di awal 20an, si Zul ni berjalan menggunakan tongkat. Diawal usia remaja Zul mmg kaki rempit. Pantang jumper peluang .... mesti rempit punyer. Tapi pada masa tu, bab-bab solat ni kurang skit. Ada masa buat, ada masa tidak. Tapi lebih banyak tak buat daripada buat kata si Zul. Mula merempit seawal usia 18thn (kira2 dah 5 tahun le dia ni merempit). Payah nak tinggalkan kerjaya mencabar ni. Bole tido atas motor... angkat roda depan .... ishhhh bak kata cam2 bole buat.

Nak dijadikan citer, malam tu dia dah salah rempit. Dia rempit dgn polis. Lari punyer lari ... tup2 sedar atas katil spital. Perlahan-lahan Si Zul tarik selimut yang menutup kakinya. Paham2 aje la ... terus dia meraung. Sebelah kaki dah tak berfungsi. Puas la dia menangis (masa tu la dia nangis, masa rempit dia ketawa).

Menyesal punyer menyesal ... terdetik hatinya bila mengenangkan semuanya hak Allah. Suratan dan ketentuan yang kena terima. Kadaq dan kadar Allah. "Tapi alhamdulillah, kejadian yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri bang" kata Zul padaku di madrasah yang berdekatan dengan tempat aku bekerja. "Kalau kaki ni ada lagi bang, mungkin sampai sekarang saya tidak menjadi tetamu Allah" kata Zul sambil mengesat air mata keinsafan. Zul sekarang ni membantu ibunya menjual goreng pisang di gerai berhampiran dengan balai bomba tempat aku bekerja. Yang bagusnya si Zul ni akan jadi tukang azan bila masuk waktu solat.

Aku kasihkan Zul seperti adik aku sendiri. Kadang-kala aku menitiskan air mata bila melihat Zul terpaksa menghempaskan punggungnya untuk solat. Cuba bayangkan bagaimana sesorang yang berdiri dengan sebelah kaki terpaksa solat dengan duduk, dah tentulah dia terpaksa menghempaskan punggungnya ke lantai. Sambil menyebut perkataan Allah (disebabkan sakitnya terhempas) dia tersenyum memandang aku jika aku menjadi imam di madrasah tersebut.

Pengajaran:-
Ada orang yang tersedar bila Allah swt mengambil semula haknya, tetapi sebaliknya ada orang yang masih tak sedar bila Allah belum lagi mengambil haknya (kita sangka kita akan sempurna sepanjang hayat). Semasa hidup kita tak sedar tanggungjawab kita terhadap Allah dan Nabinya, tetapi apabila terbuka hijab antara kita dan malaikat Izrail barulah kita nak menyesal.

Ya Allah, kau jadikan aku manusia yang mensyukuri nikmat yang kau berikan.


Sudah lama aku tak kesana. Bagaimana dengan Zul agaknya? Aku doakan agar Allah sentiasa merahmati dan memberkati kehidupannya dunia dan akhirat.

SALAM ISRAK MIKRAJ


Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.

Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan mengyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’: 1).

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18).

Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat (sembahyang) 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di langit keenam, Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.

Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :



“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Q.S. Hud: 114).

Bulan Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan dengan dua musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.

Musibah yang menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas Nabi merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.

Lalu, Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil. Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan mempertebal iman Nabi SAW.

Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah:

1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.

2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.

3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.

4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.

6. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir berlaku kiamat. Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal salih menjadi bekalan untuk ke akhirat.

7. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin ‘Afrit telah mengejar baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.

Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Artikel ini dipetik dari
http://www.sabah.gov.my/jheains/Peristiwa%20Isra%20Mikraj.htm

Wednesday, July 30, 2008

PERINTAH ULUNG

Abdullah ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Islam tertegak atas lima rukun: Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad s.a.w. adalah hambaNya serta RasulNya; mendirikan solat; membayar zakat; mengerjakan haji dan puasa pada bulan Ramadhan".

Islam diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai sebuah khemah yg mempunyai 5 tiang. Tiang utama yg terletak ditengah-tengah adalah kalimah syahadah. Manakala 4 tiang tepinya adalah selain yg di nyatakan. Jika tiang tengahnya patah bermakna semuanya runtuh, manakala jika tiang yang lain patah maka tidak sempurna khemah tersebut.

Dalam kita menyambut peristiwa Israk Mikraj (27 Rejab 1429H) ni, terkenang kembali perintah khusus kepada Nabi s.a.w mengenai solat. Hebat, nabi kita bersendirian dengan Allah untuk perintah ini. Malaikat Jibrail a.s. tidak ikut serta dalam misi ini. Dalam sedar tidak sedar selepas peristiwa tahun ke 11 kerasulan baginda, masih terdapat lagi segelintir umat baginda s.a.w yang tidak menjaga solatnya.

Seringkali saya terlihat rakan-rakan yang memenuhi padang bola, padang futsal, padang bola tampar dan pelbagai padang lagi. Penuhnya dengan orang, kereta diletakkan di kiri dan kanan jalan, tak kira lelaki wanita, yang bawa anak pun ramai. Tak payah buat pengumuman, masing-masing akan turun lewat-lewat jam 6 petang. Tetapi sebegitu ramai, hanya 2 atau 3 orang sahaja yang rajin ke rumah Allah. Setiap kali program ilmu yang dijalankan mulai malam Rabu - Jumaat di surau hanya berapa kerat sahaja yang ada bersama dalam majlis ilmu tersebut. Yang lain mana perginya ? Sibuk atau tidak berminat dalam hal-hal keagamaan ?

Begitulah diri kita yang semakin jauh dengan Allah. Allah swt berfirman:
“Sesungguhnya, Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaku, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku. Jika dia mengingati Aku di dalam hatinya, maka Aku ingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah maka Aku ingati dia di dalam jemaah yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat). Apabila hambaku mendekati Aku sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila hambaku mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa dan apabila dia datang kepadaku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari”. Itu janji Allah kepada kita yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Pernah tak kita terfikir, bila melihat orang lain berulang-alik ke rumah Allah, kita bertanya diri sendiri "Ya Allah kenapa kau pilih dia dan bukannya aku ?” Kalau kita ingin menjadi tetamu Allah, kita pasang niat, mohon dan rayu kepada Allah, semoga Allah perkenankan.

Mudah-mudahan kita terus dipilih Allah untuk menjadi rakan solat. InsyaAllah.

Tuesday, July 29, 2008

SEGALA PUJIAN HANYA UTK ALLAH

Alhamdulillah ..... “Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menghidupkan kami membangkitkan kami) setelah dimatikan kami tidur) dan kepadaNyalah kami akan dibangkitkan kembali”.

Pagi ini aku dapat bangkit dari kematian kecil sambil memuji kebesaran Allah. Sewaktu aku dalam perjalanan ke rumah Allah di subuh yang hening, terlihat akan bulan sabit (27 Rejab), bintang-bintang bergemerlipan di langit tidak bertiang. Bila lihat keadaan sekeliling, terfikir sejenak di dalam diri yang kerdil ini .......Ya Allah hebatnya ciptaan mu.

Ya Allah banyaknya ciptaanMu, tapi engkau ciptakan aku menjadi manusia (manusia adalah sebaik2 ciptaan) walhal Allah boleh jadikan kita apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah. Dalam pada itu aku terfikir lagi ..... Ya Allah, aku bersyukur kehadratMu kerana telah dihidupkan menjadi umat Nabi s.a.w (Allah boleh meletakkan kita pada zaman Nabi Adam a.s, atau Nabi Daud a.s, atau Nabi Musa a.s, atau Nabi Ibrahim a.s, ataupun Nabi Isa a.s).

Ya Allah betapa kerdilnya aku .... tidak pernah ada perjanjian dengan Allah semua perkara ini, tetapi Allah sayangkan aku.

Berlinangan air mata ini, mensyukuri nikmat dan rahmat Allah. Ya Allah .... aku bersyukur padaMu, kerana telah memilih aku menjadi hamba yang memegang kalimah "Lailahailallah" (Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah). Perasan tak .... disekeliling kita masih ada org yang tidak beriman ? Tetapi mengapa Allah pilih kita ? Sebabnya Allah sayang kita ..... kan. Sayang ? Adakah kita sayang Allah ? Adakah kita sayang pada Nabi kita ? Persoalan yang sukar dijawab dengan hati (kalau jawab dengan lidah, mungkin senang).

Aku terus berdoa. Ya Allah, kau hidupkan aku dengan keimanan, kau matikan aku dengan keimanan dan kau pertemukan aku denganMu jua dengan keimanan.

CINTA ABADI

Ku mulakan dengan kalimah Allah. Nama Allah yang Maha Agung lagi Maha Tinggi mengandungi keberkatan, kelazatan, kemanisan, ketenangan dan ketenteraman yang tidaklah tersembunyi kepada orang yang pernah menyebut nama yang suci itu dan pernah mencintaiNya buat beberapa lama.

Kuharapkan semoga panduan ini dapat dikongsi bersama dalam memupuk kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan menambahkan ketaqwaan kepada Allah swt. Sekiranya terdapat kecacatan ku pohon kemaafan daripada Allah dan sekiranya ada ganjaran pahala dariNya, kuhadiahkan buat junjungan besar Nabi s.a.w dan kpd kedua ibubapa ku.

Allah berfirman :

(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. [Ar-Ra'd 28]