Abdullah ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Islam tertegak atas lima rukun: Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad s.a.w. adalah hambaNya serta RasulNya; mendirikan solat; membayar zakat; mengerjakan haji dan puasa pada bulan Ramadhan".
Islam diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai sebuah khemah yg mempunyai 5 tiang. Tiang utama yg terletak ditengah-tengah adalah kalimah syahadah. Manakala 4 tiang tepinya adalah selain yg di nyatakan. Jika tiang tengahnya patah bermakna semuanya runtuh, manakala jika tiang yang lain patah maka tidak sempurna khemah tersebut.
Dalam kita menyambut peristiwa Israk Mikraj (27 Rejab 1429H) ni, terkenang kembali perintah khusus kepada Nabi s.a.w mengenai solat. Hebat, nabi kita bersendirian dengan Allah untuk perintah ini. Malaikat Jibrail a.s. tidak ikut serta dalam misi ini. Dalam sedar tidak sedar selepas peristiwa tahun ke 11 kerasulan baginda, masih terdapat lagi segelintir umat baginda s.a.w yang tidak menjaga solatnya.
Seringkali saya terlihat rakan-rakan yang memenuhi padang bola, padang futsal, padang bola tampar dan pelbagai padang lagi. Penuhnya dengan orang, kereta diletakkan di kiri dan kanan jalan, tak kira lelaki wanita, yang bawa anak pun ramai. Tak payah buat pengumuman, masing-masing akan turun lewat-lewat jam 6 petang. Tetapi sebegitu ramai, hanya 2 atau 3 orang sahaja yang rajin ke rumah Allah. Setiap kali program ilmu yang dijalankan mulai malam Rabu - Jumaat di surau hanya berapa kerat sahaja yang ada bersama dalam majlis ilmu tersebut. Yang lain mana perginya ? Sibuk atau tidak berminat dalam hal-hal keagamaan ?
Begitulah diri kita yang semakin jauh dengan Allah. Allah swt berfirman: “Sesungguhnya, Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaku, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku. Jika dia mengingati Aku di dalam hatinya, maka Aku ingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah maka Aku ingati dia di dalam jemaah yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat). Apabila hambaku mendekati Aku sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila hambaku mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa dan apabila dia datang kepadaku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari”. Itu janji Allah kepada kita yang sentiasa mencari keredhaanNya.
Pernah tak kita terfikir, bila melihat orang lain berulang-alik ke rumah Allah, kita bertanya diri sendiri "Ya Allah kenapa kau pilih dia dan bukannya aku ?” Kalau kita ingin menjadi tetamu Allah, kita pasang niat, mohon dan rayu kepada Allah, semoga Allah perkenankan.
Mudah-mudahan kita terus dipilih Allah untuk menjadi rakan solat. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment